TAHAP-TAHAP CINTA KEPADA ALLAH
(Menurut Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah)
Bismillahirrahmannirahim,
DI DALAM al-Quran, ada disebutkan bahawa hanya orang-orang yang membawa hati yang sejahtera sahaja yang akan menemui Allah atau diterima Allah. Firman Allah subhanahu wa ta'ala di dalam surah al-Shu’araa’ ayat 88-89:
♥ ♥ ♥ ♥ “Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”
Banyak sifat-sifat mahmudah yang perlu disemaikan dalam jiwa kita untuk mendapatkan hati yang sejahtera yang akhirnya diterima oleh Allah. Sifat-sifat yang perlu ada pada kita ialah:
CINTA KEPADA ALLAH atau HUBBULLAH atau MAHABBATULLAH
Dalam dunia akhlak, CINTA KEPADA ALLAH merupakan tempat persinggahan bagi sesiapa yang berjalan menuju Allah, menjadi santapan hati, makanan roh; ertinya hati sentiasa sihat dan kenyang apabila ada rasa cinta kepada Allah; CINTA KEPADA ALLAH merupakan kehidupan sehingga orang yang memilikinya tidak pernah mati, CINTA KEPADA ALLAH ialah cahaya/nur; sesiapa yang memiliki cinta ini tidak akan merasai kegelapan. Cinta adalah kelazatan, sesiapa yang memilikinya pasti tidak merasai kesengsaraan. Cinta pasti menghantar seseorang ke tempat tujuan yang hendak dicapai, bahkan sesiapa yang ADA PADA HATINYA CINTA KEPADA ALLAH digambarkan oleh Allah hamba yang paling ideal. DIA MENCINTAI ALLAH DAN ALLAH MENCINTAINYA. Ini digambarkan oleh Allah dalam surah Al-Maaidah ayat 54, maksudnya:
♥ ♥ ♥ ♥ "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-NYA kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-NYA, lagi Meliputi Pengetahuan-NYA.” (Al-Maaidah: 54)
Dalam ayat di atas Allah beritahu ciri-ciri manusia yang paling ideal yang memenuhi syarat CINTA KEPADA ALLAH, MANUSIA YANG PALING DEKAT DENGAN ALLAH; iaitu kecintaan mereka kepada Allah sehingga Allah juga cinta kepada mereka, mereka merendah diri kepada orang-orang mukmin, kerana Allah mencintai orang-orang mukmin: mereka bersifat tegas kepada orang-orang kafir kerana Allah juga bersikap keras terhadap orang-orang kafir; mereka sanggup berkorban dan berjuang bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang. Mereka tidak rasa terhina apabila dihina oleh orang asalkan kekasihnya melihatnya mulia, sebaliknya mereka rasa terhina jika kekasihnya (Allah) menghinanya walaupun seluruh dunia memujinya. Jika kita cinta sesama pasanggan kita kita sanggup berkorban apa sahaja. Jadi untuk cinta Allah dan Allah membalas cinta kita syarat-syarat di atas perlu ada. Apalah erti CINTA jika tidak sanggup berkorban lebih-lebih lagi kepada Allah.
Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya berkenaan 'IYYAKA NA'BUDU WAIYYAKA NASTA'IIN' menghuraikan tentang kecintaan kepada Allah. Harus diingat Allah amat mencintai alam dan segala isinya. Allah mencipta makhluk-NYA dengan penuh rasa cinta, lebih-lebih lagi kepada khalifah-NYA iaitu manusia. Allah menyayangi makhluknya 70 kali lebih ibu menyayangi anaknya.
Menurut Imam Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah ini ada SEPULUH tahap kecintaan kepada Allah:
TAHAP PERTAMA: 'ALAQAH
Tahap yang paling rendah, secara harfiah maksudnya ada hubungan, kebergantungan, kaitan (connection). Kita dah berusaha mengingat Allah bukan sahaja ketika kita susah atau senang malah setiap saat kita mengingati-NYA (tidak pernah lupa walaupun sesaat dan tidak pernah jauh walaupun seinci) yakni kita berhubung dengan Allah. (Seringkali manusia lupa Allah bila senang, sihat atau kaya tapi ingat (berhubung dengan Allah) ketika susah, sakit atau jatuh miskin). Bila dah agak senang kita agak renggang dengan Allah sebab kita rasa dah boleh berdikari. Jika yang asas inipun tidak kuat agak susah hendak naik ke tahap yang lebih tinggi.
Maka marilah kita cuba usaha menyatukan hati kita dengan Allah dengan mencuba menyukai apa yang Allah suka dan membenci apa yang Allah tidak suka, maknanya, lalukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang.
Ingatlah akan sabda Nabi tentang TUJUH golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat, salah satunya ialah dua orang bani Adam yang saling menyintai kerana Allah, berjumpa dan berpisah kerana Allah. Jika hati sudah terpaut dengan ciptaan Allah, peraturan Allah, redha dengan ketentuan-NYA, mensyukuri nikmat-NYA bermakna kita sudah ada CINTA ALLAH tahap pertama ini. Bila dah ada CINTA tahap ini alhamdulillah, ini dinamakan buih-buih cinta/ benih-benih cinta, bila ada tanda-tanda ini maknanya kita sudah meresapkan sifat-sifat Allah ke dalam diri kita. Kita akan suka apa Yang Allah suka dan benci apa yang Allah benci. Kita lakukan semua ini kerana cinta, kita takkan berputus asa/tidak sabar sebagaimana semasa kita mendidik anak-anak kita sabar menegur berkali-kali.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KEDUA: IRADAH
Maknanya kehendak, kecenderungan untuk mencari/menemui orang yang dicintai/yang dicari.
Bila hati dah tergerak mencintai iaitu sudah ada benih-benih cinta, sudah terpaut kita mesti berkehendak atau cenderung untuk mencari, jika yang kita cintai itu adalah manusia kita akan cari alamat rumah, bila dah jumpa tentu kita jumpa kekasih kita. Mustahil jika kita dah ada rasa cinta kita tidak mahu mencari, kita akan cari alamat dan akan cari rumahnya (jika kita dah tahu alamat tapi tidak hendak cari maknanya tidak berertilah cinta). Lalu di mana hendak cari Allah? Carilah Allah melalui ciptaan Allah. Carilah sebagaimana Nabi Ibrahim mencari Allah سبحانه وتعالى melalui bulan, bintang dan matahari serta semua ciptaan Allah, selalu orang sebut Zikir dan Fikir (Tazakkur dan tafakkur).
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KETIGA: SOBAABAH
Maknanya; Mencurahkan/menumpahkan/menuangkan (cuba bayangkan tuang atau curah air daripada satu baldi (bekas besar) penuh jika guna baldi, bukan menyiram sedikit-sedikt).
Ini bermaksud mencurahkan sepenuh hati rasa cinta. Cinta yang tidak dapat dibendung lagi, bukankah dikatakan mencurahkan air yang banyak, bila dicurahkan air yang banyak tentu melimpah. Bila rasa kasih seperti ini tentulah bila kekasih panggil dia segera datang, orang lain panggil tidak dengar dah (tidak dipeduli), bila kekasih buat temujanji, temujanji yang lain-lain batal. Bila seruan Haiyya 'alas solah, Haiyya 'alal falah tinggalkan segera kerja-kerja lain tanpa tangguh seminitpun kerana panggilan kekasih lebih penting daripada yang lain-lain. Itulah cinta pada tahap ini. CINTA dicurahkan hanya kepada Allah.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KEEMPAT: GHARAB
Maksudnya menyala-nyala/ berkobar-kobar. Cinta yang tidak boleh dipisahkan lagi sebagaimana Laila dan Majnun, tatkala ini panas terik atau hujan lebat dan guruh berdentumpun tidak terasa.
Cinta peringkat ini semuanya indah belaka, tersangat puas (perasaan yang sangat sukar hendak digambarkan, seumpama hendak terangkan pedas cili kepada orang yang belum pernah makan cili) setiap orang yang bercinta pasti pernah merasai ini, alangkah baiknya jika cinta seumpama ini ditujukan kepada Allah, sebagaimana bahagianya Ashabul Kahfi di dalam gua padahal apalah yang ada dalam gua.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KELIMA: WIDAD
Widad iaitu menyatakan cinta/kasih sayang dengan perbuatan; atau kasih sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan; rela berkorban apa sahaja; ini boleh dikaitkan dengan mawaddatan wa rahmah yang Allah kurniakan kepada pasangan suami isteri. Apakah yang dapat kita fahami daripada dua perkataan ini? Dua-dua perkataan ini maksudnya sama iaitu kasih sayang dan belas kasihan. Mawaddah bermaksud kasih sayang dan belas kasihan yang ditunjukkan melalui perbuatan manakala rahmah tidak melalui perbuatan. Contoh: Pasangan ketika muda, masih bertenaga, mereka boleh menunjukkan kasih sayang dengan perbuatan dan juga melalui luahan perasaan dan sebagainya tetapi apabila pasangan ini sudah tua, katakanlah seorang usianya sudah 95 manakala pasangannya pula 85, tidak mampu lagi keduanya saling melayan sesama mereka, hendak menyuap makanan ke mulut masing-masingpun mungkin sudah tidak berdaya lagi tetapi perasaan mereka masih kuat saling menyayangi, yang ini yang dimalsudkan rahmah.
Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah سبحانه وتعالى berfirman (maksudnya):
♥ ♥ ♥ ♥ "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum: 21)
Ramai yang mengaku cinta Allah tetapi ramai yang tidak dapat tunjuk. Sebab itulah Allah bagi petunjuk dalam ayat 31 Surah Ali-Imran:
♥ ♥ ♥ ♥ "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (A-li'Imraan: 31)
Allah menyuruh Nabi memberitahu kita dengan berkata: "Wahai manusia yang mendakwa cinta kepada Allah! Kamu kena tunjuk dengan perbuatan, kamu kena ikut apa yang aku suruh. Bila kamu dah buat seperti aku barulah Allah mengasihi/mencintai kamu dan mengampunkan dosa kamu". Begitulah yang dinamakan widad - kena lakukan/kena amal.
Jika tidak ada syarat ini tiadalah istilah pengorbanan. Pengorbanan di sini ialah ikutlah rasul jika mahu cinta dibalas oleh Allah.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KEENAM: SHAGHAF
Maksudnya memujuk/ merayu kerana cinta yang mendalam menusuk /meresap ke lubuk hati sebagaimana cinta Zulaikha kepada Nabi Yusof seperti dalam surah Yusof ayat 30 di bawah (maksudnya):
♥ ♥ ♥ ♥ "Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Yusuf: 30)
Cinta pada tahap ini meresap ke dalam hati, tidak kisah apa orang hendak kata, biarpun Zulaikha itu isteri kepada penguasa Mesir (al-Aziz) dia tidak kisah mencintai Yusof yang entah daripada mana asalnya, hamba pula kepada al-Aziz. (tentulah kita tidak disuruh berakhlak seperti Zulaikha ini - kisah dalam al-Quran adalah sebagai teladan dan sempadan buat kita) tapi kisah ini hendak tunjukkan tahap cinta peringkat shaghaf ni dia tidak kisah apa orang hendak kata.
Ini samalah dengan ayat Al-Maaidah 54 tadi. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم pun ketika orang-orang kafir mencela, Nabi tetap CINTA ALLAH. Kalau kita berada pada tahap ini kita berdakwah kita tidak takut orang-orang sekeliling menyindir kita. Samalah juga seperti Nabi Ibrahim ketika hendak menyembelih Nabi Ismail tentu jika orang melihat orang akan mencelanya (bukankah perkara gila hendak sembelih anak sendiri?) tetapi kerana Cinta Allah melebihi segala-galanya Nabi Ibrahim as tidak peduli apa orang hendak kata.
Dalam hal ini jika kita lakukan yang betul biarlah orang menghina kita. Contohnya jika kita ke Makkah mengerjakan haji kita terpaksa pilih pakej termurah, berjalan kaki, tidur beralaskan lengan bertilamkan tanah berbumbungkan langit pun tidak mengapa asal kita CINTA ALLAH; inilah shaghaf. Dalam keadaan apapun kita, ketika sakit, bila kita bergerak sedikitpun kita rasa sakit kita tetap buat perintah Allah; inilah SHAGHAF.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KETUJUH: 'ISQUN ATAU 'ASYIK (BUKAN KHAYAL)
Makna mendapat kepuasan, ketenangan, kebahagiaan. Ketika pada tahap shaghaf tadi, mula-mula rasa tertekan tetapi akhirnya walaupun dikutuk dia mendapat kenikmatan, nikmat sabar, nikmat syukur dan nikmat ridha. Kenapa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم berdoa:
♥ ♥ ♥ ♥ “Ya Allah jadikan hambaMu ini sehari kenyang dan sehari lapar”? Sebabnya ialah kerana Nabi ingin jadi hamba Allah yang bersyukur, dan sabar, baginda ingin mendapatkan kepuasan / nikmat syukur selepas kenyang dan nikmat sabar ketika lapar.
Bagi orang-orang yang 'isqun; sabar itu pahit. Pepatah Arab mengatakan
|| "Kesabaran itu seperti bakawali, pahit rasanya tetapi akibat/kesudahannya lebih manis daripada madu."
Orang-orang yang 'isqun ini merasai kemanisan bersabar dan kenikmatan dalam berjihad. Cuba kita kaitkan dengan perasaan kita ketika kita ada anak yang masih bayi, masa tu kita masih lagi belum sihat (ibu-ibu dalam pantang) bila bayi terjaga kita yang mengantukpun tidak terasa; itulah namanya asyik jaga bayi, tidak terasa sakit, mengantuk ataupun penat. Walaupun sebenarnya kita sedang sakit, mengantuk dan penat tapi kita puas jaga bayi kecil kita, itulah kenikmatan yang dirasakan. Cuba buat seperti ini kepada Allah, tetapi biasanya orang asyik kepada umpamanya berkayak, bermain golf, jungle tracking, berenang selat Inggeris, mendaki gunung, cuba tanya kepada mereka ini sama ada mereka penat atau tidak? Tentu jawapannya penat tetapi puas.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KELAPAN: TATAIYYUM
Berasal daripada perkataan anyutmu, mufradnya yutmun maksudnya sendirian umpama anak yatim yang ditinggalkan (kematian) ibu bapanya/ keseorangan.
Peringkat cinta seperti ini ialah merendahkan diri/bersendirian. Jika cinta Allah dia merendahkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى, merasa sendirian sama seperti anak yatim, dia merasai tidak punya apa-apa kecuali ALLAH سبحانه وتعالى, walaupun dia berada di tengah-tengah keramaian selagi dia tidak merasa berada di sisi kekasihnya dia rasa sepi. Setelah dia berasa berada di sisi kekasihnya dia rasa kaya. Nabi bersabda dalam hadis Qudsi, Allah سبحانه وتعالى berfirman:
♥ ♥ ♥ ♥ "Wahai anak adam! carilah oleh kamu akan Aku pasti kamu mendapatkan Aku dan jika engkau telah berjaya mendapatkan Aku, engkau telah mendapat segala-galanya jika kamu gagal mendapatkan Aku, kamu akan kehilangan segala-galanya".
Orang yang berada pada tahap ini dia tidak perlu takut, jika dia miskin dia tidak perlu takut kerana Allah Pemberi rezeki, jika dia sakit dia tidak perlu khuatir kerana Allah Maha Penyembuh, jika dia dianiayai kenapa perlu bersedih, ALLAH Maha Pelindung dan seterusnya, seterusnya. Seorang solufussalih pernah berkata:
|| "Saya adalah hamba kepada Allah yang Maha Kaya, aku tidak takut miskin, bagaimana aku takut miskin sedangkan aku hamba kepada Allah Yang Maha Kaya."
Biasanya kita bila ada kawan kita tidak rasa kesunyian, bila ada segala-galanya kita rasa aman, tetapi bagi orang mukmin wajib merasai memiliki ketenangan bila ada Yang Mencipta bukan yang dicipta.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KESEMBILAN: TA'ABBUD
Berasal daripada perkataan 'abdun (hamba) – memperhambakan.
Orang yang ada Cinta pada tahap ini mempunyai 3 tanda:
• Dia tidak melihat segala apa yang ada pada tangannya sebagai miliknya kerana pemilik sebenarnya ialah Allah. Dia datang ke dunia tidak bawa apa-apa bahkan dirinyapun milik Allah (Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji'uun).
• Oleh sebab segala yang ada pada dirinya bukan miliknya, dia memastikan segala apa yang dilakukannya sesuai/selari dengan kehendak pemilik sebenar. Umur, tenaga, anggota, masa, ilmu, kesihatan, rezeki dan segala-galanya adalah milik Allah.
• Dia tidak memastikan dirinya melakukan sesuatu amalan pada masa hadapan melainkan dengan izin Allah. Contoh dia hendak pergi ke satu tempat esok pagi, dia kena kata InsyaAlah, tidak pernah kata pasti saya akan pergi. Ini untuk menunjukkan satu bentuk kenyataan bahawa kita manusia ini lemah, hendak pastikan kita bangun pagi pun kita tidak dapat, hendak pastikan sihat ke dan macam-macam lagi semuanya boleh dilakukan dengan pertolongan Allah semata-mata. Tanpa pertolongan-NYA segalanya tidak berlaku.
||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||¦¦¦¦||||
TAHAP KE SEPULUH: KHULLATUN (KHULLAH)
Makna asalnya kosong. Sesorang hamba Allah yang mempunyai cinta tahap ini dipanggil Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi.
Dalam al-Quran Allah panggil Nabi Ibrahim Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi. Dalam hatinya kosong, yang ada hanya Allah سبحانه وتعالى. Dia tidak rela ada penghalang antara dia dengan Allah. Sekuat mana kasihnya kepada puteranya Ismail, disembelihnya kerana semata-mata menurut arahan Allah. Walaupun hakikatnya tidaklah disembelihnya Ismail itu tetapi Nabi Ibrahim telahpun melakukan perintah Allah dan oleh kerana Nabi Ibrahim Dengar dan Taat. Allah gantikan dengan seekor kibas. Nabi Ibrahim diberi isteri bernama Siti Hajar yang juga Khullah.
Selepas membaca tahap-tahap kecintaan ini, kita bolehlah menilai diri kita pada tahap manakah CINTA KITA KEPADA ALLAH. Jika kita beraada pada tahap PERTAMA berusahalah untuk naik ke tingkat KEDUA dan seterusnya hingga ke peringkat tertinggi yang sama seperti yang dicapai oleh Nabi Ibrahim alaihissalam.
Semoga kita dapat membina hubungan CINTA kepada Allah supaya cinta kita berbalas. Pasti ada syarat-syaratnya untuk Allah membalas cinta kita.
_______
Disunting dari: http://permatainn.blogspot.com/2011/03/cinta.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar