skip to main |
skip to sidebar
KEUTAMAAN SEPULUH HARI PERTAMA BULAN DZULHIJJAH
Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat
dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan
buat keluarga dan Sahabat Baginda.
Imam al Bukhari Rahimahullah
meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda
Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan
melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para
Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk
jihad pada jalan Allah ?” .
Ujar Baginda : “Tidak juga
(termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar
dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah
‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan
melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu
perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah
Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya
meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah
‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.
Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik
amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam :
“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di
antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan
melainkan Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut
atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak
dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya
adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam
sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang
membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan
minumannya semata-mata keranaKu”.
Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan
Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh
tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah
meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla
Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya
mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun
yang mendatang”.
Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang
termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan
Zulhijjah.
Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya
diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum
hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad
Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya
tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu
Lillah)”.
Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu
‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari
tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai.
Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di
kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada
hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa
Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”.
Adalah amat
digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah,
jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang
bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas
ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut
berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga
dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana
ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari
rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya
Allah kepadanya.
Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh
Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa
sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila
seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq
‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama
amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad,
mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan
seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih
disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu
juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang
dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan
pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang
ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau
mati syahid).
Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa
hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas
menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi
mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu
subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir
bermula pada waktu hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir
sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih hewan ternakan) pada
hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia
merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam
setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya
Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan
digantikan seekor hewan untuk disembelih.
Kedelapan : Imam
Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha
bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah
melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin
berkorban (sembelih hewan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari
(memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka
janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi
mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari
kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :
“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah hewan ternakan
(yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu
sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada
zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan
tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai
haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan
menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat
hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh
imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran
daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini
; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan,
janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan
Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam
muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya
amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah,
berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya,
mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar