Sabtu, 22 Januari 2011

KHUSYUK DAHULU, BARU MUDAH SABAR DAN SHOLAT

Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.
(QS: Al Baqarah 2: 45)

Saya selalu mengingatkan sahabat-sahabat saya bahawa miliki dahulu khusyuk itu di luar solat (di dalam setiap aktiviti kita), maka dengan mudah khusyuk itu akan diperolehi dalam apa jua keadaan termasuk ketika solat.

Khusyuk itu maknanya MENYEDARI (tidak sekadar tahu dan ingat) bahawa Allah سبحانا وتعاﱃ itu dekat dengan kita dan MENYEDARI bahawa Allah سبحانا وتعاﱃ sentiasa melihat setiap apa yang kita lakukan. Kita sentiasa berada di dalam sedar hal yang dikatakan Ihsan ini.

Ayat Al-Baqarah 2:45 tersebut selalu disalah ertikan di mana kita selalu MENCARI KHUSYUK DI DALAM SOLAT. Sedangkan jelas Allah سبحانا وتعاﱃ berfirman bahawa sabar dan solat itu mudah dilakukan bagi mereka yang khusyuk.

Bermakna khusyuk dahulu, sedar Allah itu dekat, sedar Allah sedang melihat diri kita dalam apa jua keadaan kita, di dalam setiap aktiviti yang kita lakukan, SEDAR KEHIDUPAN KITA INI ADALAH KETENTUAN ALLAH سبحانا وتعاﱃ dan barulah kita mampu mencapai sabar dan mendirikan solat dengan penuh ikhlas.

Bagi orang yang khusyuk, sabar dan solat merupakan penolongnya. Maka orang yang TIDAK KHUSYUK di dalam kehidupannya, MANA MUNGKIN AKAN SABAR DAN TIDAK AKAN MENJADIKAN SOLAT ITU SEBAGAI PENOLONGNYA.

Menjadi kesulitan kita apabila kita ingin mencari khusyuk di dalam solat. Kita belajar cara-cara solat yang khusyuk. Kita tidak mencari bagaimana untuk khusyuk di dalam kehidupan kita. Maka sebab itu apabila kita mendirikan solat, kita terasa penat, letih dan makin tertekan kerana kita cuba mendapatkan khusyuk itu di dalam solat.

Orang yang sentiasa khusyuk dalam setiap aktiviti kehidupannya, tidak akan gelisah, sentiasa tenang, bersemangat, jiwanya positif dan segala kebaikan mudah dicapai. Orang yang khusyuk di dalam setiap aktivitinya akan sentiasa sabar walau apa pun menimpa. Sentiasa bersemangat dan tertunggu-tunggu waktu solat. Solat dirasakan ringan dan asyik kerana itulah saat kemuncak mikraj kepada Allah سبحانا وتعاﱃ .

Orang yang khusyuk di dalam setiap aktivitinya akan lebih pasrah, redha dan berserah kerana jiwanya sudah terkunci dengan kesedaran yang tertinggi bahawa setiap apa yang dilakukan adalah kehendak Allah سبحانا وتعاﱃ . Setiap kehendak Allah سبحانا وتعاﱃ pasti yang terbaik untuk dirinya walaupun jika mengikut akal fikiran mungkin tidak baik bagi dirinya.


[Fuad Latip]

Shared by Bicara Hidayah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar