“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar." (Yunus, 10: 62-64)
JANJI ALLAH UNTUK ORANG YANG BERTAQWA
Perkataan ‘Taqwa’ (Sila Lihat Nota 1) telah disebut sebanyak 251 kali di dalam banyak surah di dalam Al-Qur’an. Banyaknya ayat-ayat yang menekankan tentang taqwa ini adalah petanda betapa penting taqwa itu disisi Allah. Firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. “(Al-Hujurat : 13)
“Maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran : 76)
Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, Allah mengurniakan kepada kita sifat taqwa. Bermacam-macam kebaikan yang Allah janjikan dalam Al Quran kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini. Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia tidak terhingga nilainya yang tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini.
Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini ialah:
MENDAPAT PETUNJUK ALLAH
Ketaqwaan yang tersemat di dalam hati seseorang juga, mampu menjadikan hidup seseorang terarah menuju matlamat yang agong, kerana orang yang bertaqwa sentiasa mendapat petunjuk dari Allah. Petunjuk Allah teramat penting dalam kehidupan ini, kerana dengan petunjuk ini sahajalah manusia akan benar-benar terpimpin menuju jalan kebahagian di dunia dan di akhirat. Sebahagian besar petunjuk-petunjuk Allah tersebut boleh kita dapati di dalam Al-Quran-ul-Karim, sepertimana yang dijelaskan oleh Allah, maksudnya:
“Inilah Kitab (al-Quran), yang tiada keraguan di dalamnya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
(Al Baqarah: 2)
JAMINAN DIKURNIAKAN ‘AL-FURQAN’
Jaminan dikurniakan ‘al-furqan’ iaitu petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dan yang bathil serta terlepas dari perkara-perkara syubahat atau dengan makna pertolongan. Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengurniakan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang bathil atau boleh dimaknakan dengan pertolongan) (Al-Anfal: 29)
MEMEGANG TAMPOK KEPIMPINAN DAN KEKUASAAN DI MUKA BUMI
Selain daripada jaminan Allah bahawa mereka akan mendapat petunjuk dan sentiasa dipimpin, Allah juga telah menjanjikan bagi mereka untuk memegang tampok kepimpinan dan kekuasaan muka bumi ini. Janji ini amat jelas berdasarkan firmanNya, maksudnya;
“ Sesungguhnya bumi ini adalah kepunyaan Allah, dipusakakannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-A’raf: 128)
“Allah menjadi Pelindung (Eng: protector) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
TERLEPAS DARI KESUSAHAN
Mereka dapat terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya mereka tidak mendapat susah atau tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan dan ujian, mereka akan terselamat. Walaupun ada pelbagai rintangan dalam ujian itu, ia sementara waktu sahaja. Selepas itu Allah akan lepaskan dari ujian dan rintangan itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat pula. Ini jelas dalam firman Allah, maksudnya:
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar” (At Thalaq: 2)
DIKURNIKAN REZEKI DARI SUMBER YANG DIA TIDAK KETAHUI
Di dunia lagi akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana sumber datangnya. Diberi rezeki yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas dalam sambungan ayat tadi, maksudnya:
“ .. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya” (At Thalaq: 3)
Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa. Sesiapa yang bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan minumnya yang perlu tetap ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak ada kerja, tetap ada jaminan daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam Ghazali, mungkin ianya dari pengalaman beliau sendiri. Imam Ghazali pernah berkata: “Kalau sekalipun orang bertaqwa itu tidak ada kerja, keperluan-keperluannya tetap diperolehinya.”
Waktu makan akan diberi makanan. Jika patut dapat pakaian, akan diberi pakaian. Dia sendiri tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya bukan daripada usaha dan cariannya sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui sumber usahanya tetapi melalui sumber usaha orang lain. Kalau taqwanya secara jemaah, maka rezeki itu diberi secara berjemaah. Sekiranya taqwanya secara individu, maka secara individu jugalah pemberian Allah itu.
DIBERI KEBERKATAN DARI LANGIT DAN BUMI
Dia diberi berkat daripada langit dan bumi. Berkat pada hartanya, pada kesihatan badannya, pada ilmunya, pada anak-anak dan zuriatnya, pada isterinya, pada suaminya, pada sahabat handai dan jiran, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sekali dalam ayat, maksudnya:
“Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat daripada langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Berkat maknanya bertambah atau subur. Apabila dikatakan hidupnya berkat, maknanya hidupnya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang tidak putus-putus dapat disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia bukan orang kaya. Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat diamalkan, bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.
Badannya yang sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan yang dapat digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu, digunakannya untuk jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya, dapat digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.
Berkat pada anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan di Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat sahabat yang baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya untuk menegakkan kebenaran. Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang soleh yang dapat memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.
AMALAN DITERIMA
Amal orang yang bertaqwa diterima oleh Allah. Kalau begitu amal ibadah orang Islam tidak diterima. Orang Islam akan masuk Neraka dulu. Oleh yang demikian, hanya amal ibadah orang yang bertaqwa sahaja yang diterima oleh Allah. Ini dijelaskan oleh Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
Maksudnya, Allah hanya menerima sembahyang orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima solat orang yang sekadar Islam. Allah akan terima puasa orang bertaqwa. Allah akan terima perjuangan orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima perjuangan orang Islam. Allah akan terima haji orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima haji orang Islam. Begitulah seterusnya berdasarkan ayat di atas tadi.
AMALANNYA DIPERBAIKI
Amalan orang yang bertaqwa itu sentiasa dibaiki oleh Allah. Sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa. Ini jelas Allah mengingatkan kepada kita, maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu .... ” (Al Ahzab: 70-71)
Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki oleh Allah. Sembahyangnya sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, wiridnya dan perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk kebaikan yang dibuatnya sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah jaminan Allah.
DOSA DIAMPUNKAN
Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga ada sambungannya, maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. ” (Al Ahzab: 70-71)
Firman Allah llagi, yang maksud:
“Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengurniakan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan yang agong.” (Al-Anfal : ayat 29)
Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan diampunkan. Namun begitu orang Islam dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab itu orang Islam akan masuk Neraka dulu dan barulah ke Syurga. Wal’iyazubillah. Allahumma ajirna minan nar . Tegasnya, orang yang bertaqwa sahaja akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
DAPAT ILMU TANPA BELAJAR
Dapat ilmu daripada Allah tanpa perantaraan guru, tanpa perantaraan belajar. Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, nanti dia akan dipusakakan ilmu yang dia tidak tahu.” (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim)
Apa sahaja ilmu yang dia tahu, diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan beri ilmu tanpa dia belajar. Ramai orang-orang soleh dan ulama yang soleh diberi ilmu laduni. Itulah ilmu yang jatuh kepada hati yang juga dipanggil ilham. Firman Allah Taala maksudnya:
“Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami” (Al Kahfi: 65)
Ertinya orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari Allah tanpa wasilah guru. Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain terlebih dahulu.
TERLEPAS DARI TIPU DAYA SYAITAN
Orang bertaqwa itu akan terlepas dari tipu daya syaitan. Dalam Al Quran ada disebutkan tentang hal ini. Firman Allah maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan- kesalahan mereka.” (Al A’raf: 201)
TERLEPAS DARI TIPU DAYA MUSUH
Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu daya musuh lahir sama ada orang kafir mahupun orang munafik. Firman Allah, maksudnya:
“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” (Ali Imran: 120)
TERHINDAR DARI NERAKA
Orang bertaqwa terhindar daripada Neraka. Ertinya tentulah dia masuk Syurga sebab di Akhirat tidak ada tiga tempat. Kalau terlepas daripada Neraka, bermakna ke Syurgalah dia. Firman Allah Taala,maksudnya:
"Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi mereka Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Ali Imran: 198)
“Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam Syurga dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman’.” (Al Hijr: 45-46)
“Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)
Firman Allah SWT lagi, maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang bertaqwa berada di dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitarnya) terdapat mata-mata air. Dan mendapat buah-buhan yang berbagai jenis mengikut kemahuan mereka, dikatakan kepada mereka ; “Makanlah dan minumlah dengan seenak-enaknya sebagai balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.Sesungguhnya begitulah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Mursalat : ayat 41-44)
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa pasti mendapat kemenangan, dikurnikan kepada mereka kebun-kebun dan buah anggur dan gadis-gadis remaja yang sebaya, dan minuman-minuman yang penuh (beisi minuman) dan di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan-perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan-perkataan yang dusta. Kesemua itu adalah sebagai balasan dari Tuhanmu dan sebagai pemberian yang terlalu banyak.” (An-Naba’: ayat 31-36)
Firman Allah lagi maksudnya;
“(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghimpunkan orang-orang yang bertaqwa dalam satu kumpulan menuju Tuhan mereka Yang Maha Pemurah sebagai satu penghormatan.”(Maryam: 85)
“Dan (pada hari kiamat) syurga akan didekatkan kepada orang-orang yang bertaqwa.” (As-Syu’ara’: ayat 90)
Inilah di antara keuntungan-keuntungan atau kelebihan yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang dunia kerana terlalu tinggi nilainya.
Ia didapatkan hasil daripada membersihkan hati, mujahadah bersungguh-sungguh membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat mahmudah serta mengamalkan syariat yang lahir dan batin.
Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan dunia yang tidak ada nilai di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut mencapai taqwa yang manfaatnya untuk dunia dan Akhirat?
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah, 2:177)
Menurut istilah bahasa perkataan ‘Taqwa’ diambil dari perkataan ‘’alwiqayah’ yang membawa erti sesuatu yang menutup kepala, oleh itu ia membawa erti sesuatu yang boleh memelihara dan menjaga dan perbuatannya ‘ taqiya’ yang membawa pengertian ‘berhati-hati’, ‘berjaga-jaga’, ‘memelihara’ dan ‘takut’.
Manakala menurut istilah agama atau syara’ ‘Taqwa’ bermaksud ‘menjauhkan dan memelihara serta mengadakan penjagaan diri dari laknat, balasan dan azab dan kemurkaan Allah dengan mentaati segala perintah Allah atau melaksanakan segala yang diredhaiNya dan menjauhkan segala yang yang dilarangNya dan dimurkaiNya.
PANDANGAN PARA SAHABAT MENGENAI TAQWA
Pandangan Saidina
Umar Al-Khattab
“Taqwa adalah umpama kamu berjalan penuh hati-hati di dalam hutan yang penuh dengan duri dan onak, supaya tidak terpijak duri dan onak tersebut.”
Pandangan Saidina Ali
Karramallahu Wajhah
Ketika Saidina Ali ditanya tentang pengertian ‘Taqwa’ beliau lantas memberikan pandangannya berdasarkan kefahaman dan penghayatan Islam setelah mendapat pentarbiyahan baginda Rasulullah SAW semenjak beliau berumur 9 tahun lagi, beliau menyatakan bahawa hakikat dan pengertian ‘Taqwa’ hanya akan diperolehi oleh seseorang dengan melaksanakan empat perkara di bawah;
i. Takutkan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Berkuasa
ii. Melaksanakan segala perintah Allah yang termaktub dalam al-Quran yang diturunkan
iii. Berpuashati dan bersyukur dengan sedikit nikmat yang Allah kurniakan
iv. Bersiap sedia menghadapi hari perpindahan kita ke alam akhirat
Pendapat Para Ulama’
i. Mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya agar terhindar dari hukumanNya
ii. Menjaga diri dari segala sesuatu yang boleh membawa kesan negatif sehingga tidak terjerumus ke dalam perkara dosa dan maksiat
iii. Bersedia membersihkan diri dari berbagai tindakan kerana takut dari melakukan perkara-perkara yang haram
iv. Hati yang merasa takut kepada Allah, sehingga mendorong dirinya ingin beramal dan berbakti kepadaNya untuk mendapat pahala dan bersedia meninggalkan segala yang dilarangNya.
ANJURAN ALLAH SUPAYA BERTAQWA
Allah Hanya Menilai Amal yang disertai dengan Taqwa
Melalui pembentangan pengertian ‘Taqwa’ di atas, sayugialah bagi setiap orang yang beriman mendasari segala amal yang mereka lakukan di atas pengertian ‘Taqwa’ yang sebenar, kerana Allah hanya akan menilai amal sesuatu perbuatan yang disertai dengan ketaqwaan seseorang di dalam hatinya, di samping keikhlasan dalam melaksanakannya, iaitu semata-mata mengharapkan keredhaan dan kecintaanNya.
Orang Taqwa Menghindarkan diri dari murka Allah
Orang yang bertaqwa juga adalah orang yang sentiasa berusaha menghindarkan diri dari kemurkaan dan siksaan Allah dalam apa jua bentuk, samada ketika mereka hidup di dunia atau di akhirat nanti.
Firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan milik Allahlah segala yang berada di langit dan di bumi dan sesungguhnya Kami (Allah) telah wasiatkan (perintahkan) kepada orang-orang yang telah diberikan al-Kitab sebelum kamu dan kepadamu supaya; “bertaqwalah kepada Allah!.” Tetapi jika kamu kafir (engkar) ketahuilah sesungguhnya segala yang berada di langit dan di bumi itu adalah milik Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Sekiranya kita mengamati ayat di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa kita sewajar bertaqwa kepada Allah, kerana bumi, langit dan segala isinya adalah milik Allah SWT. Oleh yang demikian, adalah tidak layak bagi manusia untuk mengingkari dan mengkufuriNya, kerana segala nikmat dan kemudahan yang tersedia di muka bumi ini, malah kewujudan alam cakrawala beserta dengan sistemnya adalah milik Allah untuk kegunaan dan manfaat kita di dunia ini.
Bertaqwa Dengan Sebenar-benar Taqwa
Allah memperingatkan manusia supaya bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar taqwa, di mana mereka diminta menjalani kehidupan ini berbekalkan ketaqwaan mereka kepada Allah. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( muslim) kepadaNya” (Ali Imran: 102)
Taqwa Bukan Sekadar Takut Pada Allah
Berdasarkan kepada ayat di atas, jelas menujukkan betapa pentingnya sifat ‘Taqwa’. Sifat ‘Taqwa’ itu juga tidak semestinya sekadar perasan takut, tetapi mestilah diikuti dengan mentaati segala perintah Allah dan mengawal diri dari melakukan perkara yang dilarang olehNya. Inilah perbezaan yang ketara di antara takutkan Allah dengan takut kepada selain daripadanya, kerana manusia biasanya akan menjauhikan diri daripada orang yang ditakuti atau haiwan buas yang digeruninya, tetapi ketakutan atau ketaqwaan kita kepada Allah akan membawa diri kita semakin hampir kepadaNya dengan melaksanakan segala ketentuanNyadan menjauhi segala laranganNya, sehingga melayakkan kita mendapat kasih sayang dan keredhaan dariNya.
Bekalan yang Paling Utama adalah Bekalan Taqwa
Ketaqwaan kepada Allah hendaklah dijadikan sebagai bekalan yang sentiasa dibawa kemana sahaja berada, kerana dengan bekalan ini sahajalah kita akan berjaya menempuh liku-liku dan tribulasi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Hanya mereka yang mempersiapkan diri dengan bekalan yang sempurna sahaja bakal menempuhinya dengan jayanya. Maka bekalan yang paling utama ialah bekalan ‘taqwa’, selaras dengan firman Allah maksudnya;
“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah ‘taqwa’ dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.” (Al-Baqarah: 197)
Jadikan Takwa sebagai Pakaian
Selain daripada itu Allah memerintahkan orang yang beriman, supaya menjadikan ‘Taqwa’ sebagai pakaian mereka, yang mampu menutup diri mereka daripada godaan syaitan, ancaman aqidah yang menyesatkan dan amalan-amalan yang bertentangan dengan perintah Allah. Perintah supaya menjadikan ‘Taqwa’ sebagai pakaian ini bertepatan dengan firman Allah, maksudnya;
"Wahai anak Adam (umat manusia), sesungguhnya kami menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasanmu, dan pakaian ‘taqwa’ itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu beringat.” (Al-A’raf: 26)
CIRI-CIRI DAN SIFAT-SIFAT ORANG YANG BERTAQWA
Allah سبحانا وتعاﱃ telah menggambarkan di dlam al-Quran tentang beberapa ciri orang yang bertaqwa. Di antaranya firmanNya maksudnya;
“Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Al-Baqarah : 2-5)
Firman Allah lagi; maksudnya;
“Bukanlah dianggap kebajikan itu hanya sekadar menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintai kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir yang memerlukan pertolongan, dan orang-orang yang meminta-minta dan memerdekan hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janji apabila dia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam menghadapi kesempitan, penderitaan dan di dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar keimanan mereka dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah :177)
Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa di antara sifat-sifat orang yang bertaqwa yang ada hubungkaitnya dengan keimanan dan amal ibadah adalah seperti berikut:
BERIMAN DENGAN PERKARA-PERKARA GHAIB
Yaitu percaya kepada perkara-perkara yang telah diberitahu oleh Allah melalui lidah rasulNya صلیﷲ علیﻪ و سلم , di mana perkara-perkara tersebut tidak mampu difikirkan oleh akal dan pancaindera manusia, seperti zat Allah Azza wa Jalla, Alam Akhirat, Malaikat, Syurga, Neraka, Alam kubur, Alam Mahsyar, Titian Sirat, Jin-jin, Siksaan Kubur, Arasy Allah dan lain-lain lagi.
Mendirikan Solat
Ia itu dalam ertikata yang sebenar, dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya, termasuk mendirikannya dengan penuh kekhusukan.
Menafkahkan Sebahagian Rezeki
Yang Allah Telah Anugerahkan
Ini adalah dalam bentuk zakat wajib atau zakat sunat (sedekah) kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir ( yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan untuk memerdekakan hamba-hamba sahaya.
Beriman Kepada Kitab Al-Quran Dan
Kitab-Kitab Yang Diturunkan Sebelumnya
Ini termasuk suhuf-suhuf yang diturnkan oleh Allah kepada para nabi dan rasul, melalui perantraan Jibrail علیہمم ١لﺴﻼم
Mengimani Dan Meyakini Adanya
Kehidupan Di Akhirat
Setelah berakhirnya kehidupa di duni ini. Di sanalah segala amalan kita akan dinilai dan dihisab dengan penilaian dan penghisaban yang maha adil, kemudian akan dibalas oleh Allah dengan balasan yang setimpal dengan apa yang kita kerjakan didunia ini. Samada berbahagia dan bergembira dengan mendapat balasan syurga atau menderita dan tersiksa dengan mendapat balasan neraka.
Menepati Janji Apabila Berjanji
Ini termasuk samada janji tersebut berhubung kait dengan Allah dan sesama manusia
Bersabar Dalam Menghadapi Kesempitan,
Penderitaan Dan Di Dalam Peperangan
Selain dari sifat-sifat dan ciri-ciri di atas, terdapat beberapa lagi sifat-sifat dan ciri-ciri orang yang bertaqwa, di antaranya;
Menahan api kemarahan daripada menguasai diri sehingga akan menyebabkan dia bertindak di luar kawalan dan batasan
Memaafkan kesalahan orang lain walaupun ketika itu dia mampu dan mempunyai kekuatan untuk mengambil tindakan dan membalas terhadap orang yang menzaliminya, namun maaf kesalahan mereka lebih diutamakan.
Segera mengingati Allah tatkala melakukan perbuatan keji (dosa-dosa besar yang mudharatnya tidak hanya ke atas dirinya seperti berzina, mencuri, membunuh, riba, menuduh orang melakukan kejahatan, merompak dan lain-lain lagi)dan menzalimi diri sendiri (dosa-dosa yang mudharatnya hanya menimpa dirinya sendiri, samada dosa-dosa besar atau kecil)
Memohon Keampunan Allah
Kenyataan di atas ini terkandung dalam firman Allah; maksudnya;
“ Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu senang ataupun susah dan orang-orang yang menahan api kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan, dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, maka mereka segera mengingati Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah mereka lakukan, dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain dari Allah?. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedangkan mereka mengetahui (hukum dan kesannya).” (Ali Imran : ayat 133-135)
Beriman Dan Membenarkan Rasulullah
Dan Memperjuangkan Kebenaran Tersebut
Kenyataan ini selaras dengan firman Allah maksudnya;
“ Dan mereka yang membawa (kebenaran) yang dibawa oleh Muhammad dan membenarkankannya, mereka itulah orang-orang yang bertaqwa. Mereka memperolehi apa sahaja yang mereka kehendaki dari sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan kepada orang yang melakukan.” (Az-Zumar : 33-34)
Berlaku Adil Dalam Menjatuhkan
Hukuman Di Kalangan Manusia
Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya :
“ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana berlaku adil itu lebih dekat kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa sahaja yang kamu kerjakan. (Al-Maidah: 8)
Mengagongkan Syiar-Syiar Allah
Seperti mengagongkan syiar dalam ibadah haji, korban, solat berjemaah lima waktu, solat hariraya, solat minta hujan, solat gerhana bulan dan matahari, solat jumaat, menghidupkan Ramadhan, menghadiri majlis-majlis ilmu dan zikir dan lain-lain lagi berdasarkan firman Allah سبحانا وتعاﱃ , maksudnya;
“ Demikianlah (perintah Allah), dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syira Allah, maka sesungguhnya itu timbul lantaran hati yang penuh dengan ketaqwaan.” (Al-Haj : 32)
Berjihad Di Jalan Allah Dengan
Mengorbankan Harta Dan Jiwa Raga
Firman Allah, maksudnya;
“ Orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak menyertai jihad dengan harta dan diri (jiwa raga) mereka. Dan Allah amat mengetahui orang-orang yang bertaqwa.” (At-Taubah : 44)
Tidak Bersifat Sombong Dan Tidak
Melakukan Kerosakan Di Muka Bumi Ini
Selaras dengan firman Allah, maksudnya:
“ Negeri akhirat (yang penuh dengan nikmat itu) Kami kurniakan untuk orang-orang yang tidak mahu menyombongkan diri dan dari melakukan kerosakan di muka bumi ini dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” (Al-Qasas : 83) /
Shared by Bicara Hidayah
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar